
Pada 13 Disember 2012, Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah telah membuat lawatan ke tapak projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, Papar. Lawatan tersebut turut disertai oleh rombongan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah (KPI) yang terdiri daripada dua Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah iaitu Y.B. Datuk Japlin Hj Akim dan Y.B. Datuk Pang Yuk Ming, pegawai-pegawai KPI, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dari jabatan/agensi di bawah KPI.
Pengurus Besar Petronas Sabah dan Labuan, Encik Joseph Podtung telah memberi penerangan mengenai status kemajuan projek berkenaan kepada semua ahli rombongan KPI. Beliau juga telah membawa semua ahli rombongan KPI untuk melihat pemandangan tapak projek yang menyeluruh dari sebuah menara yang berdekatan dengan pintu masuk utama pejabat tapak projek.





