Search    
  October 24, 2014  
Pengenalan

Sejarah

Lain-lain Pautan

Hotline

Talian: 088-255999
Maklumbalas

www.kpi.sabah.gov.my

tumblr hit counter

   You are here:  SejarahSejarah Pembangunan    

Sejarah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah

Kementerian Pembangunan Infrastruktur adalah kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk merancang dan menyediakan kemudahan infrastruktur dan awam di Negeri Sabah. Kementerian ini dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya ditubuhkan melalui warta Kerajaan No. 56 bertarikh 21 September 1963.

Sejarah Penubuhan

Datuk Khoo Siak Chiew

Pada bulan Mac 1963, ahli-ahli majlis bagi  “Sabah Alliance Party” telah menamakan lima ahli Exco untuk menjawat beberapa portfolio penting apabila Sistem Ahli Kerajaan dibentuk di Sabah bagi menyahut penubuhan Malaysia. Pembentukan portfolio yang telah dipersetujui adalah Kerajaan Tempatan, Sumber Semulajadi, Perhubungan & Kerja Raya, Pendidikan, dan Kesihatan.

Pada 25 Mac 1963, Sistem Ahli Kerajaan telah dilaksanakan dengan perlantikan Encik Khoo Siak Chiew sebagai ketua ahli Bahagian Perhubungan & Kerja Raya. Saat ini merupakan titik permulaan bagi penubuhan Kementerian Perhubungan & Kerja Raya atau lebih dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Infrastruktur pada masa kini.

 

Kabinet Negeri Sabah pertama:- Duduk dari kiri ke kanan: Datuk Harris bin Mohd. Salleh (Menteri Kerajaan Tempatan); Datuk Khoo Siak Chiew (Menteri Perhubungan & Kerja Raya); Tun Fuad Stephens (Ketua Menteri Sabah); Datuk Pang Tet Tshung (Menteri Kewangan); dan Datuk G.S. Sundang (Timbalan Ketua Menteri).
Berdiri dari kiri ke kanan: Encik R.(Bob) Speedy (Setiausaha Kabinet merangkap Setiausaha Sulit kepada Yang Di-Pertua Negeri); Tan Sri Mohd Said Keruak (Menteri Pertanian); Encik R. Jones (Peguam Besar Negeri); Encik R.. M. Turner (Ketua Setiausaha); Encik A. Jones (Akauntan Awam); dan Datuk Richard E. Yapp (Menteri Sumber Alam).

 

Kabinet Negeri Sabah yang pertama telah berlangsung pada hari penubuhan Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Ahli-ahli kabinet telah mengangkat sumpah bagi jawatan yang dipegang di bangunan Dewan Undangan Negeri sebelah Istana Lama.

 

Kementerian Perhubungan & Kerja Raya telah ditubuhkan secara rasmi melalui Warta Kerajaan 1963 Vol XVIII No. 56, Perenggan 705 yang bertarikh 21 September 1963. Encik Khoo Siak Chiew merupakan Menteri Perhubungan & Kerja Raya yang pertama dilantik secara rasmi. Kementerian pada ketika tersebut mempunyai 3 jabatan:-

  • Jabatan Kerja Raya
  • Jabatan Keretapi
  • Jabatan Kenderaan Jalan Raya.

Kementerian dipertanggungjawab untuk mengendalikan beberapa bahagian utama iaitu seperti berikut:-

Menteri Perhubungan Persekutuan Tun Sardon b. Hj Jubir dengan Datuk Khoo Siak Chiew, Menteri Perhubungan & Kerja Raya memeriksa pesawat terbang sistem Penerbangan Malaysia - Singapura yang baru di Jesselton.
  • Kerja raya
  • Jalan raya
  • Jalan keretapi
  • Pelabuhan & dermaga
  • Pengangkutan jalan
  • Pembentungan
  • Air
  • Marin
  • Pos & telegraf
  • Penerbangan awam

Pada akhir tahun 1960-an, bidang tanggungjawab bagi penerbangan awam telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Selain itu, bahagian parit & taliair yang sebelum ini merupakan salah satu daripada bidang tanggungjawab Jabatan Kerja Raya telah dipindah ke Kementerian Pertanian & Perikanan pada 1 Januari 1967. Sehubungan itu, Kementerian Perhubungan & Kerja Raya mempunyai 6 jabatan/agensi di bawahnya dalam sekitar akhir tahun 1960-an yang terdiri daripada:-

  • Jabatan Kerja Raya
  • Jabatan Perkhidmatan Pos
  • Jabatan Laut
  • Jabatan Kenderaan Jalan Raya
  • Lembaga Letrik Sabah
  • Keretapi Negeri Sabah
Datuk Pang Tet Tshung, Menteri Perhubungan & Kerja Raya dalam kerajaan pimpinan Datuk Peter Lo, merasmikan pelancaran perkhidmatan bas di antara Kota Kinabalu dan Papar oleh MARA.

 

Tan Sri Suffian Koroh, Menteri Perhubungan & Kerja Raya sedang merasmikan pembukaan pelabuhan dan gudang Lembaga Pelabuhan Sabah di Lahad Datu pada bulan September 1979.

Menjelang tahun 1970-an, Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih  tugas Jabatan Perkhidmatan Pos dan Jabatan Laut  pada awal tahun 1990-an. Pada 15 Julai 1992, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia telah mengambil alih sepenuhnya Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sabah.  Lembaga Letrik Sabah (kini dikenali sebagai Sabah Electricity Sdn. Bhd.) telah diswastakan pada 1 September 1998.

Oleh yang demikian, jabatan/agensi utama di bawah kementerian ini sehingga kini adalah:-

  • Jabatan Kerja Raya Sabah
  • Jabatan Air Negeri Sabah
  • Jabatan Keretapi Negeri Sabah
  • Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah
  • Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah

Pada tahun 1999, Kementerian Perhubungan & Kerja Raya telah mengalami perubahan dari segi nama apabila digantikan dengan Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) dan ia gunakan sehingga kini.

Penubuhan Unit Pengangkutan Awam Di Bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur

Satu Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam bagi Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau  telah dijalankan dalam tahun 1999. Antara rekomendasi kajian berkenaan adalah supaya satu Unit Pengangkutan Awam (UPA) ditubuhkan untuk menggubal dasar dan mewujudkan perancangan dan program pengangkutan darat negeri yang bersepadu. Pada 29 Mac 2001, Jawatankuasa Teknikal Kajian telah membuat syor supaya UPA ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur. Syor berkenaan telah disokong oleh Jawatankuasa Pelaksana Kajian dan diluluskan oleh kerajaan. UPA telah mula beroperasi pada 2 Januari 2004.

Antara fungsi-fungsi utama UPA adalah seperti berikut:

  1. Meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara semua ‘stakeholders’ berhubung isu-isu berkaitan pengangkutan awam;
  2. Menjadi penyelaras dalam usaha menyeragamkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan pengangkutan awam darat dan menangani isu-isu dan masalah pengangkutan awam darat;
  3. Menggubal dasar dan mewujudkan perancangan dan program pengangkutan darat negeri yang bersepadu;
  4. Mengumpul, mengkaji, menganalisa dan menyimpan data dan maklumat berkaitan pengangkutan awam darat.

Antara Peristiwa-Peristiwa Utama Melibatkan Kementerian Pembangunan Infrastruktur

Nahas Kapal Pada 6 Jun 1976

Pada 6 Jun 1976 merupakan peristiwa hitam dalam sejarah Sabah apabila masyarakat setempat dikejutkan dengan nahas kapal yang telah mengorbankan beberapa orang penting dalam Kerajaan Negeri Sabah. Seramai 11 orang terkorban dalam nahas tersebut. Daripada mangsa-mangsa nahas kapal termasuk Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tun Haji Mohd Fuad dan juga  tiga ahli kabinet iaitu Menteri Kewangan, Datuk Haji Salleh Sulong, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan, Datuk Peter Mojuntin, Menteri Perhubungan & Kerja Raya, Encik Chong Thain Vun.

 

Kapal Sabah Air Nomad yang terbang dari Labuan ke Kota Kinabalu telah terhempas ke dalam laut di kawasan Sembulan. Gambar di bahagian bawah kanan yang menunjukkan Ketua Menteri Sabah, Tun Haji Mohd Fuad dan menteri-menteri lain, termasuklah Menteri Perhubungan & Kerja Raya, Encik Chong Thain Vun mengambil bahagian dalam pertandingan 'walkathon' merupakan gambar terakhir yang telah diambil sehari sebelum nahas kapal tersebut terjadi.

Berikutan dengan kejadian malang tersebut, Menteri Tugas-tugas Khas, Encik Yap Pak Leong telah dilantik untuk memegang jawatan Menteri Perhubungan & Kerja Raya yang sebelum itu dipegang oleh mendiang Encik Chong Thain Vun.

 

 

Kebakaran Bangunan JKR

Api kelihatan menjulang tinggi dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh aras tujuh & aras lapan Bangunan JKR.

Pada 17 Jun 1994, kakitangan di bangunan JKR di Jalan Sembulan telah dikejutkan dengan siren kebakaran yang dibunyikan pada jam 10.45 pagi. Kebakaran yang mengejutkan tersebut bermula dari bahagian kiri aras tujuh yang menempatkan pejabat Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya. Semua fail dan dokumen kementerian berkenaan telah musnah dijilat api. Aras lapan bangunan tersebut yang menempatkan sebahagian daripada Bahagian Akaun dan Pentadbiran juga musnah.

Walau bagaimanapun, kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa atau kecederaan. Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Encik Abdul Ghapur Salleh, Pembantu Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Encik Abdul Rahim Ismail serta Setiausaha Tetap, Datuk Hj. Matiasin Surai tidak berada di pejabat ketika kebakaran tersebut berlaku.

Kecuaian pekerja yang menjalankan kerja mengimpal di pejabat kementerian telah menyebabkan kebakaran tersebut berlaku. Keadaan cuaca dan terdapatnya bahan-bahan yang mudah terbakar di aras tujuh menjadi punca api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan keseluruhan aras tujuh dan aras lapan. Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut pada kira-kira 12.50 petang.

Anggota bomba dan orang ramai berusaha memindahkan sebuah kereta yang diletak di bawah bangunan JKR yang sedang membakar.

 

Abdul Ghapur Salleh, Menteri Perhubungan & Kerja Raya diiringi oleh para pegawai Kementerian dan JKR melawat pejabat beliau yang musnah dalam kebakaran selepas beberapa hari kejadian tersebut berlaku.

Selepas peristiwa tersebut berlaku, kakitangan kementerian telah ditempatkan sementara di bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sehingga kerja-kerja pengubahsuaian dan membaik-pulih bangunan selesai. Kerja-kerja pembinaan semula dan penyiapan dua tingkat bangunan JKR yang mengalami kebakaran tersebut mengambil masa lebih kurang setahun. Kakitangan kementerian telah berpindah semula ke bangunan JKR pada hujung tahun 1995.

SUKMA IX 2002

 

Negeri Sabah telah diberi pengiktirafan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-9 yang diadakan dari 5 September 2002 hingga 14 September 2002. Ini merupakan penganjuran pertama bagi Negeri Sabah dalam temasya sukan yang hanya diadakan selang dua tahun sekali tersebut. Tema bagi SUKMA IX ialah "Gemilang di Alaf Baru".

 

Kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian dalam temasya sukan tersebut terdiri daripada 13 buah negeri dan 2 buah Wilayah Persekutuan Malaysia, MASUM, MSSM, Polis Di Raja Malaysia, Brunei Darussalam, dan Northern Territory of Australia. Sebanyak 7,238 orang peserta dan pengurus sukan ditempatkan di Perkampungan Sukan SUKMA yang merangkumi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dalam Kampus dan luar kampus UMS (Taman Indah Permai dan Taman Kurnia Perdana).

Sehubungan itu, beberapa jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Jawatankuasa Induk Negeri Sabah dengan TYT Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Bin Dandai, Yang Dipertua Negeri Sabah sebagai penaung jawatankuasa tersebut.

Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) telah diberi tugasan penting dalam mengetuai Jawatankuasa Pengangkutan.  Tugas-tugas Jawatankuasa Pengangkutan adalah seperti berikut:-

  1. Merancang dan menyediakan keperluan kenderaan sebelum, semasa dan selepas SUKMA berjalan.
  2. Menyediakan jadual pengangkutan bagi memastikan semua aktiviti jawatankuasa dan juga aktiviti kontinjen-kontinjen berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  3. Penyediaan dibuat mengikut keperluan kenderaan VIP, kenderaan peserta/ kontinjen/jawatankuasa dan kenderaan untuk peralatan.
  4. Merancang dan menguruskan pengangkutan untuk atlet dan pegawai ke tempat pertandingan pergi dan balik mengikut jadual pertandingan.
  5. Menyediakan keperluan peruntukan kewangan untuk jawatankuasa.
  6. Lain-lain tugas yang relevan yang dikenalpasti dari semasa ke semasa dalam melicinkan perjalanan jawatankuasa.

Tanggungjawab KPI dalam mengetuai jawatankuasa tersebut merupakan suatu cabaran kerana perancangan dan pengendalian keperluan kenderaan perlu teratur bagi menampung perjalanan ribuan ahli-ahli kontinjen di antara tempat penginapan dan aktiviti-aktiviti sukan.

Peta 1: Lokasi Pejabat dan Acara Pertandingan Sukma 2002
  1. Dewan Besar KPLB
  2. Universiti Malaysia Sabah
  3. Kompleks Sukan Yayasan Sabah
  4. Dewan Perdana Maksak
  5. Dewan Masyarakat Kota Kinabalu
  6. Kompleks Sukan Kota Kinabalu
  7. Centre Point Kota Kinabalu
  8. Dewan Institut Latihan Perindustrian
  9. Dewan SM Tshung Tsin
  10. Dewan Saadah / Dewan Besar MUIS
  11. Sabah Golf & Country Club
  12. Tanjung Aru Yacht Club
  13. Lebuhraya UMS-Sulaman-Kota Belud
  14. Taman Tun Fuad Stephens
 

 

KPI berbangga dalam menyahut cabaran sebagai penyelaras Jawatankuasa Pengangkutan bagi kejohanan bertaraf kebangsaan. Selain daripada bidang utama dalam mengendalikan pembangunan infrastruktur, KPI turut berjaya menyelaras pengangkutan yang melibatkan kontinjen dari seluruh negeri Malaysia, termasuk dua buah negara asing sepanjang Sukma IX dijalankan dengan kerjasama yang diberi oleh ahli- ahli dalam jawatankuasa tersebut.

Hakmilik © 2007 Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah
Terms Of Use Privacy Statement
Home|Pengenalan|Sejarah|Berita KPI